10 Tips untuk Memilih Tadika yang Terbaik untuk Anak Anda!

tadika terbaik di seremban

Anda runsing memikirkan di manakah tadika terbaik untuk menghantar tadika anak anda? Lebih-lebih lagi selepas mendengar pelbagai berita yang merisaukan terutamanya di media sosial. Terdapat pelbagai tips dan nasihat untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak anda.

Jadi, bagaimana untuk memilih tadika yang terbaik untuk anak anda? Ketahui soalan yang perlu ditanyakan oleh setiap ibu bapa untuk mencari tadika atau prasekolah terbaik untuk anak anda dan tips-tips supaya anda boleh memilih tadika yang terbaik untuk si comel yang tercinta.

Antara perkara yang sering menjadi persoalan ialah adakah kita perlu hantar anak ke prasekolah(kerajaan) atau tadika swasta? Sepanjang hari/ full-day (8 pagi hingga 6 petang)  atau setengah hari/half day? Atau homeschooling/sekolah di rumah?

Pilihan yang ada untuk pendidikan awal kanak-kanak ini sangat mengelirukan, lebih-lebih lagi ibubapa yang menghantar anak pertama. Bagaimana anda boleh memastikan tadika atau prasekolah yang anda pilih adalah yang terbaik untuk anak anda?

Kami telah menumpukan 10 Tips untuk memilih tadika yang betul, terbaik dan tepat untuk anak anda! Ayuh kita mulakan!


1. Sudahkah anak anda bersedia?

Sebagai ibubapa, kita mempunyai tanggungjawab utama dalam mendidik anak kita supaya bersedia menempuh kehidupan. Kemasukan ke alam pendidikan awal ini adalah satu langkah pertama untuk anak belajar membawa diri tanpa pengawasan ibubapa. Persoalannya, adakah anak kita sudah bersedia untuk belajar di tadika.

Setiap anak mempunyai kadar pertumbuhan yang berbeza. Ada yang sudah pandai berkomunikasi pada umur 3 tahun, dan ada juga yang masih tidak boleh berkomunikasi walaupun sudah berumur 5 tahun.

Jadi kita sebagai ibubapa perlu membuat penilaian awal terhadap anak kita. Apakah yang perlu dinilai? Kami sediakan 4 tips utama bagi mengenalpasti adakah anak kita sudah bersedia untuk masuk ke tadika atau prasekolah.

A. Sudah memahami arahan mudah

Adakah anak tersebut sudah boleh menerima arahan mudah seperti “duduk di kerusi kamu”, “ulang apa yang ibu/abah cakap”, “buang sampah di tong sampah”?

Jika ya, ia bermaksud anak anda boleh memahami arahan-arahan mudah dan akam terus berkembang selepas masuk ke prasekolah atau tadika. Jika belum, ibu bapa perlu aktif memberi arahan dan mendidik anak supaya faham arahan-arahan mudah.

Hal ini amat penting bagi memastikan pemahaman anak anak dalam pembelajaran secara langsung atau tidak langsung di tadika. 

Anak anak yang boleh berkomunikasi dengan arahan ringkas sudah bersedia untuk dihantar ke tadika

B. Sudah boleh berkomunikasi

Boleh menerima arahan merupakan komunikasi satu hala dimana ibubapa atau guru memberi arahan, anak tersebut perlu mengikut arahan tersebut. Anak yang boleh berkomunikasi bermaksud anak tersebut boleh memberi mesej kepada guru tadika akan sesuatu yang ingin anak tersebut sampaikan.

Contohnya, jika anak perlu membuang air besar, anak tersebut boleh meminta guru untuk pergi ke tandas. Komunikasi bukan sahaja bermaksud kefasihan anak berkata-kata, namun kebolehan anak tersebut menyampaikan mesej tentang apa yang mereka ingin sampaikan sama ada secara lisan atau perbuatan.

C. Sihat mental dan fizikal

Kita perlu menegenalpasti kesihatan mental dan fizikal anak supaya pilihan wajar untuk pendidikan anak dapat diberi dari peringkat awal lagi. Terdapat begitu banyak kes yang berlaku dimana ibubapa menghantar anak mereka yang “istimewa” ke tadika yang normal dan menghadapi pelbagai masalah sepanjang anak tersebut berada di tadika.

Terdapat pelbagai penyakit atau kecacatan seperti autisme (pervasive developmental disorder), Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD), speech delay dan sebagainya yang memerlukan perhatian dan kepakaran yang tinggi. Anak yang mempunyai simtom penyakit yang berkenaan perlu dihantar ke pusat pendidikan khas supaya anak tersebut dapat dibentuk dengan kaedah yang betul dan diberi perhatian yang mencukupi.

D. Umur Anak

Tadika kebiasaannya mengambil anak yang berumur dari 4 hingga 6 tahun. Prasekolah (kebangsaan) mengambil anak 6 tahun sahaja. Ada juga sesetengah tadiak mengambil anak umur 3 tahun dengan syarat anak tersebut memenuhi kriteria yang dicadangkan di atas.

Sebaiknya, anak boleh mula dihantar pada umur 4 tahun kerana tadika akan mula memberikan pendidikan awal dalam bentuk latihan motor halus, sosioemosi dan sebagainya.

Oleh itu, kita sebagai ibubapa perlu peka dan kenalpasti bahawa anak sudah bersedia untuk masuk ke alam prasekolah terlebih dahulu. Bukan kriteria anak sahaja yang perlu diambilkira, malah ibubapa juga perlu menilai adakah bersedia untuk menghantar anak ke tadika yang dipilih. 


2. Apakah filosofi pendidikan untuk anak anda?

Setiap ibubapa mempunyai filosofi dan pilihan tersendiri untuk membentuk anak yang tercinta. Artikel ini akan memberi klasifikasikan ringkas tentang filosofi yang terdapat dalam pasaran prasekolah dan tadika yang terdapat di Malaysia ini.

Filosofi yang akan dibentangkan di bawah hanyalah untuk memberikan sedikit pendedahan untuk ibubapa berfikir sejenak akan filosofi pendidikan yang menjadi pilihan untuk diterapkan untuk anak yang disayangi.

A. Agama

Tadika dan prasekolah yang menawarkan pengajaran asas agama adalah amat popular dalam kalangan ibubapa. Ibubapa ingin menerapkan nilai-nilai Islam kepada anak mereka dari akar umbi supaya anak tersebut lebih mudah untuk dibentuk dengan unsur kerohanian.

Anak-anak diajar untuk membaca alquran menggunakan iqra dan menghafaz surah-surah lazim

Tadika yang menawarkan pengajaran asas agama Islam akan menerapan elemen-elemen Islam seperti hafalan surah lazim, nyanyian nasyid serta zikir munajat setiap hari, pengajaran asas fekah seperti wuduk dan solat, dan tidak lupa penerapan akhlak mulia berlandaskan alquran dan sunnah.  

B. English Medium

English medium merupakan kaedah komunikasi antara guru dan pelajar dengan menggunakan arahan dan pengajaran dalam Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Pengajaran secara english medium amat penting kerana pengajaran secara ini dapat mengajar anak-anak untuk mengikut arahan mudah dalam bahasa inggeris.

Gabungan bahasa ini amat baik bagi mengasah perkembangan sel otak dengan cara anak memproses maklumat dari pendengaran. 

C. Belajar Melalui Latihan

Belajar melalui latihan atau homework juga merupakan salah satu filosofi yang diamalkan di sesetengah tadika. Anak-anak akan dididik menggunakan konsep latihan dan ulangan sehingga anak tersebut menghafal atau memahami latihan yang diberi. Tadika seperti ini biasanya akan memberikan kerja rumah untuk disiapkan oleh anak-anak di rumah.

Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai kajian telah dilakukan mencadangkan anak-anak tadika memerlukan rehat yang mencukupi untuk memastikan perkembangan minda anak-anak kondusif dan sihat.

D. Belajar Secara Praktikal

Pembelajaran secara praktikal ialah pengajaran diluar daripada buku atau teori. Tadika yang mengambil pendekatan secara praktikal biasanya akan melakukan aktiviti hands-on dimana anak-anak perlu mengambil bahagian dan melakukan aktiviti secara sediri dengan pengawasan cikgu.

Pembelajaran secara praktikal amat efektif kerana anak-anak bukan sahaja berkembang dari satu sudut (perkembangan otak) malah berkembangan secara fizikal (motor halus) dan mental (sosioemosi).

Walaubagaimanapun, pendekatan secara hands on kebiasaannya memerlukan kos yang lebih tinggi kerana setiap aktiviti praktikal memerlukan bahan samada bahan kitar semula atau baharu.

Pembelajaran secara praktikal menggunakan alat bantuan mengajar (ABM)

E. Pendekatan One-to-one atau One-to-many

Anak-anak 4-6 tahun memerlukan kasih sayang dan perhatian yang tinggi. Oleh itu, pengajaran secara one-to-one amat berkesan kerana guru boleh mengajar dan menilai secara terus. Kemahiran seperti membaca, mengira dan menaakul perlu dididik secara terus kerana kemahiran asas ini memerlukan pemahaman yang tinggi untuk dihadam. 

Walaubagaimanapun, pendidikan secara one-to-many tidak boleh diendahkan kerana terdapat situasi yang sesuai untuk pendidikan secara one-to-many. Contohnya dalam aktiviti fizikal tidak kira motor halus atau motor kasar, pendidikan secara one-to-many lebih sesuai kerana anak tersebut boleh belajar dengan cara meniru rakan sebaya.

Oleh itu, ibubapa perlu menilai filosofi pendidikan yang ingin diterapkan kepada anak anak. Teacher mencadangkan keseimbangan filosofi supaya anak tersebut fleksibel dan mudah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.


3. Waktu Persekolah. Sepanjang Hari atau Separuh Hari?

Ibubapa perlu bijak memilih tadika yang bersesuaian untuk anak dan juga gaya hidup ibubapa itu sendiri. Terdapat tadika yang menawarkan sesi persekolahan separuh hari (biasanya dari pukul 8am – 12pm) atau sepenuh hari (8am – 5pm).

Biasanya pemilihan tadika separuh hari sesuai untuk ibubapa yang mempunyai penjaga atau ibu/bapa yang tidak bekerja. Untuk ibubapa yang bekerja, kebiasaannya mereka akan mencari tadika yang sepanjang hari atau tadika separuh hari yang menawarkan transit ke taska berdekatan.

Anak-anak perlukan masa untuk berehat setelah penat berada di dalam kelas dan bermain.

Tadika sepanjang hari (penuh) bermaksud pendidikan kan diberikan di sebelah pagi dan juga di sebelah petang. Anak-anak akan diberikan waktu rehat yang mencukupi berdasarkan jadual yang ditetapkan dan makanan akan diberi. 

Transit pula bermaksud anak tersebut akan di “transitkan” ke taska yang berdekatan. Bergantung pada taska, anak akan diberikan aktiviti yang tertentu bagi mengisi masa anak dan diberikan rehat yang mencukupi. Ini amat bergantung kepada program yang taska tersebut tawarkan.


4. Adakah Silibus Selari dengan Standard Pendidikan Kebangsaan?

Dalam memilih tadika yang sesuai untuk anak anda, anda perlu memastikan tadika yang dihantar selari dengan standard pendidikan kebangsaan (SKPK). Hal ini amat penting supaya anak tersebut tiada masalah untuk menyesuaikan diri bila memasuki sekolah kebangsaan darjah 1 nanti.

Bagaimana untuk mengenalpasti tadika tersebut selari dengan SKPK atau tidak? ANda boleh melihat atau bertanya sama ada tadika tersebut berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri atau tidak. Setiap tadika yang berdaftar perlu mempunyai silibus yang selari dengan SKPK. SKPK ialah standard yang diperkenalkan oleh Jabatan Pendidikan supaya kualiti pendidikan yang disampaikan oleh tadika swasta mencapai standard yang telah ditetapkan.

Untuk pengetahuan ibubapa, standard pendidikan kerap berubah dan semakin advance dari setahun ke setahun. Oleh itu, ibubapa perlu memilih tadika yang proaktif dalam mengikut standard pendidikan kebangsaan yang kerap berubah dan semakin sukar. Sesetengah tadika tidak mengambil endah akan perkebangan SKPK yang terkini yang telah ditetapkan oleh kerajaan.


5. Selidik Latar Belakang Tadika

Kita berada dalam era moden di mana maklumat boleh dicapai di hujung jari. Langkah pertama untuk mencari tadika pilihan ialah dengan mencari di google atau social media. Artikel ini akan membentangkan sedikit tips untuk mencari tadika berdekatan dengan rumah anda.

A. Menggunakan Facebook atau Google

Anda boleh membuat carian tadika di google atau facebook menggunakan fungsi “search” laman tersebut. 

Pilih tadika yang mempunyai review ynag tinggi di page mereka

Untuk google, anda boleh mengecilkan fokus carian kepada “tadika di [tempat anda]” atau “kindergarten near me”. Google akan memaparkan carian tadika-tadika berdasarkan carian yang dihasilkan. Anda boleh mencari tadika yang mempunyai website atau mencari tadika yang mempunyai maklumat dia sosial media seperti facebook.

Google places review juga salah satu tempat untuk mencari review sesebuah tadika

B. Menggunakan Google Maps

Google Maps ialah alat yang sangat membantu terutamanya dalam mencari sesuatu tempat yang disekeliling kawasan yang kita tetapkan. Anda boleh membuat carian “google maps” di google dan klik di carian yang pertama atau boleh klik di sini.

Kemudian, anda boleh menggerakkan maps menggunakan tetikus (di komputer) atau menggunakan jejari anda (di smartphone) ke kawasan yang anda ingin mencari. 

Selepas itu, pergi ke carian, taip “tadika” atau “kindergarten” dan tekan butang carian. Google maps akan memaparkan semua tadika yang berada di dalam kawasan yang dipilih.

Carian tadika di google maps. Anda boleh mencari tadika yang berdekatan dengan kawasan anda

Anda boleh klik di setiap poin yang berwarna merah untuk mengetahui maklumat lanjut.

C. Penyelidikan Awal

Apakah penyelidikan awal yang boleh dilakukan untuk mencari tadika yang baik? Berikut adalah beberapa tips untuk mencari tadika yang baik.

i. Review Ibubapa Terdahulu

Anda boleh mencari review ibubapa terdahulu melalui review google places atau review di facebook page tadika berkenaan.

ii. Produk yang digunakan

Anda boleh melihat apakah produk atau meterial yang digunakan oleh tadika tersebut. Contohnya, untuk buku membaca, adakah tadika tersebut menggunakan produk Cahayaku atau produk Bacalah Anakku. 

Bacalah Anakku adalah antara siri cepat membaca yang biasa digunakan di tadika untuk mengajar anak membaca.

iii. Website (Jika ada)

Tadika yang mempunyai website biasanya akan memberikan lebih banyak maklumat untuk bakal ibubapa lihat. Lihat di website mereka untuk pakej yang ditawarkan, aktiviti yang dilakukan dan maklumat untuk dihubungi

iv. Tadika Berdaftar atau Tidak

Ibubapa perlu menyelidik sama ada tadika berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri atau tidak. Pendataran tadika boleh dikenalpasti melalui sijil pendaftaran oleh JPN atau plat yang dipaparkan di pintu tadika.

v. Bertanya Penduduk Berdekatan

Kadang-kadang kaedah yang terbaik ialah bertanya pada orang sekeliling kerana mereka sudah berada di kawasan tadika itu lebih lama. Ringankan mulut untuk bertanya tentang tadika yang diselidik itu jika terdapat kes-kes terdahulu atau pencapaian baik yang pernah dikecapi.


6. Buat Lawatan Premis

Setelah anda membuat penyelidikan awal, anda boleh membuat lawatan ke premis dan lihat sendiri suasana tadika itu sendiri. Artikel ini akan membincangkan aspek yang perlu diambil kira dalam menilai premis yang baik dan sesuai untuk ibubapa menghantar anak mereka.

A. Premis yang Bersih

Tadika ialah tempat untuk anak anak bermain dan belajar setiap hari. Oleh itu, ibubapa perlu pastikan tadika yang dipilih bersih dan selesa untuk anak. Kita boleh menilai adakah tadika itu menerapkan kebersihan dengan cara melihat tong sampah, adakah meja dan kerusi tersusun, adakah tadika tersebut mempunyai jadual kebersihan dan lain-lain.

Ambil masa untuk melawat tandas yang digunakan oleh pelajar dan juga dapur dimana makanan disimpan dan disediakan.

B. Premis yang Selamat

Keselamatan adalah salah satu penilaian utama yang ibubapa perlu perhatikan. Apakah ciri-ciri tadika yang selamat? Antara ciri keselamatan yang asas untuk tadika adalah seperti berikut:

  • Mempunyai pemadam api
  • Mempunyai papan tanda keselamatan di sekeliling tadika
  • Pintu pagar sentiasa ditutup
  • Kawasan tadika adalah kawasan larangan merokok
  • Tiada objek tajam atau membahayakan
  • Taman permainan yang berunsurkan plastik (dan tidak berkarat bagi besi)
  • Taman permainan yang tidak terlalu tinggi dan berisiko
  • Mempunyai tangga kecemasan bagi premis yang lebih dari satu tingkat.
  • CCTV adalah satu kelebihan
  • Mempunyai nombor kecemasan

C. Kemudahan yang Lengkap

Kita perlu peka akan kemudahan dan permainan yang disediakan oleh tadika. Antara contoh kemudahan adalah seperti berikut:

  • Permainan yang banyak dan berfaedah
  • Buku yang banyak dan menarik
  • ABM (Alat Bantuan Mengajar) yang pelbagai dan relevan mengikut zaman
  • Mempunyai laman dan kawasan yang luas untuk anak anak bermain
  • Mempunyai kerusi dan meja yang selamat dan selesa untuk anak-anak
  • Kelas yang terang dan selesa (mempunyai kipas atau aircond)
  • Whiteboard yang terang dilihat oleh anak-anak
  • Storage yang banyak untuk anak meletakkan beg dan barang mereka
  • Komputer atau Television untuk aktiviti berkaitan multimedia

D. Premis yang Ceria dan Kreatif

Keceriaan tadika melambangkan tadika tersebut. Terdapat pelbagai kajian psikologi yang telah dilakukan dimana warna sekeliling mampu menaikkan mood dan keceriaan anak-anak dalam perkembangan minda. Kita boleh menilai keceriaan tadika dengan warna-warna cerah yang digunakan, poster atau gambar-gambar yang menarik dicat atau ditampal di sekeliling tadika dan juga hasil kerja anak-anak yang dipapar.

Suasana yang positif dan ceria boleh membantu dalam merangsang perkembangan minda dan kreativiti anak-anak.

E. Lokasi Tadika

Semasa melawat premis, ibubapa perlu memastikan tadika yang dipilih berada di kawasan strategik dan terbaik untuk anak dan juga ibu bapa. Antara tips yang boleh membantu ialah:

  • Tadika berada dekat dengan hospital / klinik
  • Tadika berada dekat dengan balai polis
  • Tadika berada dekat dengan balai bomba
  • Tadika berada dalam kejiranan yang baik
  • Tadika berada dalam laluan ibubapa ke tempat kerja

Biasanya jika ibubapa yang datang ke premis dan rasa “berkenan” dengan tadika berkenaan, kebanyakannya berkenan atas sebab-sebab di atas. 


7. Guru yang Berdedikasi dan Komited

Setelah mengikuti tips-tips yang telah diterangkan di atas, sekarang kita pergi ke tips yang paling penting dan menjadi tunjang utama dalam pemilihan sesebuah tadika yang tepat untuk anak anda.

GURU ialah elemen utama yang perlu diambilkira kerana guru tersebutlah yang akan mendidik anak kita, menjaga anak kita sewaktu kita tiada semasa mencari rezeki. Oleh itu, ibubapa wajib mengambil masa untuk mengenali guru-guru yang mengajar di tadika berkenaan terlebih dahulu. 

Guru ialah elemen utama yang perlu diambilkira kerana guru tersebutlah yang akan mendidik anak kita

Tak kenal maka tak cinta. Mengenali tidaklah bermaksud berkenalan hingga ke tahap mengenal hal peribadi guru tersebut tetapi cukup dengan mengenali dari sudut kualiti seorang guru. Artikel ini akan berkongsi tips ringkas untuk membuat penilaian awal guru tersebut.

  • Lihat interaksi guru tersebut dengan anak anda
  • Cara bercakap dengan ibubapa
  • Melihat bagaimana mereka mengawal keadaan
  • Temubual ringkas bersama mereka
  • Melihat kelayakan mereka (Pengalaman, Sijil, diploma, degree)

Walau apapun hasil dapatan yang dapat dikaji tentang guru itu, pastikan ibubapa juga bersedia untuk memberikan kepercayaan untuk guru tersebut mengajar dan mendidik anak kita. Guru itu ialah profession yang mulia dan insyaAllah, guru tersebut mahukan yang terbaik untuk anak-anak yang mereka didik. 


8. Yuran

Jika anda merancang untuk menghantar anak anda ke tadika swasta, anda perlu bersedia untuk membayar yuran-yuran tertentu. Oleh itu, ibubapa perlu memilih tadika yang mempunyai yuran didalam bajet yang telah ditetapkan. Sebelum itu, kita perlu ketahui bagaimanakah pembahagian yuran itu dan adakah ia memberi justifikasi terhadap nilai yang diberi oleh tadika tersebut.

Pastikan ibubapa membuat bajet sebelum menghantar anak ke tadika yang diidamkan

Yuran persekolahan tadika/prasekolah biasanya terbahagi kepada berikut.

A. Bayaran Tahunan

  • Yuran pendaftaran
  • Yuran tahunan
  • Buku teks dan latihan
  • Uniform sekolah
  • Insurans (Mengikut tadika)

B. Bayaran Bulanan

  • Yuran bulanan

C. Lain-lain

  • Makanan
  • Transport
  • Kelas tambahan
  • Yuran keahlian ibubapa (Mengikut tadika)

            Ibubapa perlu meneliti setiap pakej yang ditawarkan oleh tadika kerana setiap tadika mempunyai struktur bayaran yang berbeza. Senarai di atas hanyalah yuran yang biasa ditawarkan di tadika dan terdapat pelbagai variasi mengikut kawasan dan pakej. Ibubapa perlu bijak memilih tadika yang mampu dibayar dan memastikan tadika tersebut mempunyai ciri-ciri tadika seperti yang diterangkan dalam artikel ini.

Konklusi

Untuk merangkumkan semua isi di atas, kami mencadangkan agar ibubapa membuat penilaian secara menyeluruh sebelum mendaftarkan anak ke tadika yang diidamkan. Sebelum itu, pastikan anak anda sudah bersedia dan sesuai untuk dihantar ke tadika yang dipilih.

Tambahan pula, tadika tersebut mesti menawarkan waktu yang memenuhi keperluan ibubapa sama ada sepanjang hari atau separuh hari. Ibubapa perlu memastikan tadika yang dihantar seiring dengan standard SKPK yang telah ditetapkan dan selari dengan filosofi pendidikan yang ingin diterapkan kepada anak yang tersayang.

Kenali tadika yang ingin dipilih dengan membuat lawatan ke premis dan suaikenal ringkas dengan guru-guru yang mengajar di tadika tersebut. Dan yang terakhir, pastikan yuran tadika yang dipilih berada dalam lingkungan bajet yang ditetapkan disamping memilih tadika yang menawarkan nilai terbaik untuk anak anda! 

Jika ada sebarang pertanyaan, jangan malu untuk komen dibawah kerana kami akan sentiasa menambah baik tips-tips yang boleh membantu anda dalam memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak anda!

Share Tentang Era Kreatif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *