Apakah Maksud Sosio-emosi dalam Perkembangan Kanak-kanak?

Emotions picture

Sosio-emosi perkataan berasal daripada dua perkataan iaitu sosial dan emosi.

Sosial

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (DBP) sosial bermaksud aktiviti berkaitan dengan persahabatan, pergaulan, dan aktiviti masa lapang. Perkembangan sosial kanak-kanak pula adalah kebolehupayaan kanak-kanak belajar untuk berhubung dengan orang lain, mengenali cara berkomunikasi / berinteraksi dengan orang lain serta memahami identiti sosial dan kefahaman kendiri kanak-kanak tersebut.

Emosi

Emosi pula bermaksud perasaan jiwa, gerak hati, tindak balas fisiologi dan penyataan emosi. Contoh emosi ialah gembira, sedih, takut, marah, malu dan lain-lain. Dalam perkembangan kanak-kanak, hal ini penting untuk mengetahui kepelbagaian tahap emosi anak dalam menerima interaksi dan komunikasinya dalam kehidupan harian.

Maksud Sosio-emosi

Perkembangan Sosio-emosi amat ditekankan untuk kanak-kanak bagi memberi mereka pemahaman hubungan sosial dengan individu-individu di persekitaran mereka. Ini secara tidak langsung membentuk personaliti anak sepanjang mereka membesar dan mencapai umur dewasa. Ahli psikologi Erik Erikson telah membahagikan perkembangan psikososial kepada 8 peringkat namun kita akan merungkai sehingga peringkat 6 sahaja iaitu sehingga anak berumur 18 tahun.

8 Peringkat Perkembangan Psikososial Manusia sosio-emosi
8 Peringkat Perkembangan Psikososial Manusia

Peringkat 1: Kepercayaan vs Ketidakpercayaan (Dari lahir hingga 1 tahun)

Bayi perlu mendapat kasih sayang yang penuh dari ibubapa atau penjaganya. Cara ibubapa atau penjaga mereka menjaga mereka sejak lahir akan memberi kesan kepada fizikal, kesihatan mental seta pembentukan emosi anak tersebut.

Sewaktu bayi, anak akan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada ibubapa mereka dengan cara mereka cuba untuk berkomunikasi dengan anda. Bayi tidak akan boleh memberitahu perasaan mereka dengan tepat, perasaan mereka akan sangat bergantung kepada cara ibubapa melayan, memberi kasih sayang dan makan yang diberi.

Lawati Laman Tadika Era Kreatif untuk membaca posting yang menarik untuk perkembangan anak.

Peringkat 2: Autonomi vs Keraguan / Malu (1 – 3 Tahun)

Mengikut teori Erikson, apabila anak berumur 18 bulan hingga ke umur 3 tahun, kita akan dapat menyaksikan banyak sifat autonomi dan keraguan dari anak. Sewaktu ini anak akan mula untuk membuat keputusan mudah sendiri, mengawal diri dan mengembara di persekitarannya. Ini berkembang dari fasa sebelumnya dimana anak-anak sangat bergantung dengan penjaganya untuk membuat apa apa demi keselamatannya.

Sewaktu inilah anak akan membina persepsi dan kepercayaan terhadap persekitarannya. Anak akan berasa takut untuk jatuh di tempat yang pernah ia jatuh, menunjukkan perasaan takut apabila terdengar bunyi yang begitu kuat, serta rasa ragu-ragu untuk membuat sesuatu perkara akibat dari peristiwa yang berlaku sebelum ini. Hal ini juga akan terjadi disebaliknya seperti anak menjadi gembira apabila makanan kegemarannya disediakan, anak menunggu-tunggu ketibaan ibu/ayahnya pulang dari kerja dan bunyi lagu kegemarannya bermain di telefon pintar.

Perkembangan ini ialah normal dan sangat baik untuk sosio-emosi anak.

Peringkat 3: Inisiatif vs Rasa Bersalah (4 – 5 Tahun)

Pada peringkat umur ini, anak-anak akan mula untuk berdikari dalam bermain, berinteraksi dengan orang yang baru dikenali, dan inisiatif yang dilakukan untuk dirinya sendiri. Contohnya jika anak tersebut ingin bermain dengan rakan-rakan baru, anak tersebut akan pergi ke arah rakan sebayanya untuk main bersama. Ini termasuk pemilihan rakan-rakannya, pemilihan permainan yang digemari anak serta kejadian konflik antara kawan-kawannya.

Semua ini berkait rapat dengan cara anak membuat keputusan sendiri untuk memenuhi kehendaknya. Keputusan tersebut akan membawa kepada penilaian dari anak itu sendiri sama ada ia adalah keputusan yang baik atau buruk. Jika keputusan baik, ia akan memberi kesan positif terhadap emosi mereka, jika ia keputusan buruk, ia akan memberi kesan negatif kepada emosi mereka.

Peringkat 4: Industri vs Rendah Diri (6 – 11Tahun)

Peringkat keempat ini penting untuk anak-anak membina sifat keyakinan diri. Anak berada di sekolah dan belajar bersosial, menerima pujian dan mula untuk melakukan perkara yang melibatkan perhatian seperti membaca, menulis, melukis dan menyelesaikan masalah.

Kanak-kanak yang cemerlang di sekolah sama ada dalam pelajaran atau kurikulum akan mempunyai sifat keyakinan dan kecekapan yang baik. Mereka akan rasa bangga dengan dirinya sendiri dan yakin akan kebolehan dirinya.

Anak yang bermasalah di sekolah akan mempunyai masalah keyakinan diri, sentiasa rasa rendah diri. Ini akan meninggalkan rasa tidak layak untuk membuat sesuatu dan asyik memberi alasan terhadap kekurangan diri mereka.

Peringkat 5: Identiti vs Kekeliruan (12-18 Tahun)

Anak kini sudah berada di alam remaja. Pada peringkat ini, anak akan mencari identiti diri dan memikirkan bagaimana mereka boleh menyesuaikan diri dalam masyarakat atau kelompok sosial mereka. Antara kajian yang diketengahkan oleh Erikson ialah anak akan membentuk sifat ego dalam identiti mereka.

Identiti akan terbentuk daripada pengalaman lalu, hubungan dengan orang lain, kepercayaan, minat serta memori yang menyumbang kepada cara mereka berfikir. Hal ini akan berterusan dan membentuk imej diri yang terbina dan mengukuh dari masa ke semasa.

Kekeliruan pula adalah rasa tidak yakin sama ada mengenal diri sendiri atau tidak dan tidak tahu untuk menyesuaikan diri dalam kelompok sosial. Anak akan sering rasa kecewa dengan diri sendiri dan keliru dengan tempat diri dalam masyarakat.

Kesimpulan

Perkembangan sosio-emosi anak ialah kebolehan anak untuk bersosial dengan orang orang lain, dalam masyarakat dan diri sendiri berdasarkan peringkat perkembangan psikososial. Kita sebagai ibubapa perlu mengenalpasti perkembangan sosio-emosi anak supaya anak dapat membesar dalam persekitaran yang positif bagi membina keyakinan diri anak dan kebolehan mereka menyesuaikan diri dalam masyarakat

Share Tentang Era Kreatif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *